Warga asing tidak dibenarkan menjaja, miliki lesen

Team TC
Bacaan 2 minit

Kerajaan tidak pernah mengiktiraf warga asing sebagai penjaja atau peniaga kecil, termasuk tidak membenarkan mereka bekerja sebagai pembantu di bawah lesen penjaja premis yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Nga Kor Ming/ Foto RTM

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata tindakan tersebut selaras dengan dasar dan peraturan sedia ada iaitu undang-undang kecil (UUK) penjaja serta UUK tred, perniagaan dan perindustrian.

Justeru, hampir 15,000 kompaun telah dikeluarkan dengan 23 lesen dibatalkan manakala 2,880 premis disita atas pelbagai kesalahan termasuk pemindahan lesen secara haram kepada warga asing.

Tindakan itu dilakukan menerusi 3,703 operasi yang dilaksanakan sehingga kini.

Selain itu, proses permohonan baharu dan pembaharuan lesen diperketat di peringkat negeri, manakala operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus dipertingkat bagi memastikan penguatkuasaan lebih efektif.

“KPKT dan PBT sentiasa terbuka untuk bekerjasama secara konstruktif dengan agensi lain dalam menyokong usaha penguatkuasaan PBT. Mengambil kira bahawa bidang kuasa PBT hanya terhad kepada pemeriksaan lesen premis dan perniagaan sahaja, maka kerjasama bersepadu amatlah dialu-alukan bersama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun mengenai dasar kerajaan terhadap kebebasan warga asing membuka perniagaan dan tindakan terhadap premis yang menggunakan nama warganegara tetapi dikendalikan sepenuhnya warga asing.

Mengulas lanjut, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, KPKT memandang serius isu kemudahan yang disediakan kerajaan untuk manfaat warga tempatan yang disalah guna warga asing melalui pelbagai tipu helah.

Larangan tegas ini bagaimanapun sering dimanipulasi warga asing dengan menggunakan nama pasangan warganegara atau menyewa lesen rakyat tempatan, sekali gus menimbulkan persepsi seolah-olah kerajaan membenarkan mereka berniaga.

SUMBER:RTM
Kongsi Artikel Ini
Tinggalkan komen