Grab Malaysia melakar sejarah apabila melancarkan armada kenderaan elektrik (EV) e-hailing pertama yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1), sekali gus memperkukuh komitmen syarikat terhadap pengangkutan lestari dan menyokong agenda negara ke arah ekonomi hijau.

Pelancaran perkhidmatan yang menggunakan kenderaan BYD M6 itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang menyifatkan inisiatif Grab sebagai sejajar dengan matlamat negara mempercepatkan penggunaan teknologi hijau dan pengangkutan rendah karbon.
“Pelancaran perkhidmatan EV ini menunjukkan komitmen Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam mempercepatkan peralihan negara ke arah sistem pengangkutan yang bersih, cekap dan mesra alam selari dengan Dasar Pengangkutan Negara (2019-2030) serta Pelan Strategik MOT (2021-2025).
“Pelancaran ini juga menjadi titik tolak kepada pengembangan perkhidmatan EV di seluruh negara termasuk Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.
Beliau berkata, kerjasama antara sektor awam dan swasta seperti yang dijalinkan Grab bersama rakan industri penting untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur EV dan meyakinkan pengguna terhadap kepraktisan EV
“Kalau ada kereta EV, kita perlu sistem pengecasannya dan kemudahan sokongan lain, ekosistem ini memerlukan pendekatan menyeluruh,” katanya sambil menggesa lebih banyak pihak industri tampil ke hadapan menyumbang kepada agenda dekarbonisasi negara.
Sementara itu, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor, berkata pelancaran ini adalah sebahagian daripada usaha Grab untuk mengubah wajah pengangkutan awam atas permintaan ke arah mod rendah atau sifar pelepasan.
“Kami komited menyumbang ke arah masa depan yang lebih bersih dan hijau serta menyokong sasaran negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030,” katanya.
Rashid berkata, pemilihan KLIA sebagai lokasi pertama adalah berdasarkan peranannya sebagai hab pengangkutan utama negara dengan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan e-hailing.
“KLIA menyediakan platform yang ideal untuk menunjukkan bahawa EV bukan sahaja berdaya maju, tetapi juga selesa dan bersedia untuk keperluan masa depan,” katanya.
Rashid turut menegaskan bahawa ini hanyalah permulaan kepada perjalanan Grab menuju neutraliti karbon menjelang 2040.
Sementara itu, Grab turut memperkenalkan Lounge EV pertama di terminal KLIA yang menyediakan ruang rehat khusus dan selesa kepada penumpang semasa menunggu kenderaan mereka.
Perkhidmatan EV ini dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik utama termasuk BYD Sime Motors, Yinson Green Technologies dan Power-Up Tech, menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Mac lalu.
Usaha ini menyediakan akses kepada pembiayaan, pembekalan kenderaan dan pembangunan infrastruktur pengecasan yang menyeluruh.
Inisiatif Grab juga dilihat selari dengan pelbagai langkah kerajaan dalam merangsang pembangunan EV, termasuk pemberian insentif pembelian, pelaksanaan zon rendah karbon di bandar, dan perluasan jaringan pengecasan EV di lokasi strategik seperti lebuh raya dan pusat beli-belah.
![]() | ![]() |
Berikut adalah perbezaan tambang perjalanan bagi varian EV 6 Seater dengan Standard 6 Seater dari KLIA T1 ke Kuala Lumpur. Adalah pengguna akan memilih perkhidmatan dari varian EV 6-Seater ini dari perkhidmatan 6-Seater sedia ada? Sama-sama kita nantikan feedback dari pengguna aplikasi grab ini nanti.