Amerika gesa China desak Iran tidak tutup Selat Hormuz

Team TC
Bacaan 2 minit

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio menggesa China supaya mendesak Iran untuk tidak menutup Selat Hormuz selepas Washington melancarkan serangan ke atas tapak nuklear Iran, pagi tadi.

Rubio berkata demikian ketika muncul dalam program “Sunday Morning Futures with Maria Bartiromo” di saluran Fox News, hari ini lapor Reuters.

Terdahulu, Parlimen Iran telah meluluskan usul untuk menutup Selat Hormuz, laluan bagi kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia.

“Saya menggesa kerajaan China untuk hubungi mereka (Iran) tentang perkara ini, kerana mereka sangat bergantung kepada Selat Hormuz untuk bekalan minyak mereka,” kata Rubio yang juga penasihat keselamatan negara.

“Jika mereka (Iran) melakukannya, itu adalah satu lagi kesilapan besar. Ia ibarat membunuh diri dari segi ekonomi. Kita ada pilihan untuk tangani perkara ini, dan negara lain juga perlu ambil perhatian. Tindakan itu akan menjejaskan ekonomi negara lain jauh lebih teruk daripada kita.”

Rubio menambah, penutupan selat itu akan menjadi satu tindakan provokasi besar yang boleh mencetuskan tindak balas daripada Amerika dan negara lain.

Setakat ini, Kedutaan China di Washington tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung gesaan Rubio itu.

Terdahulu, pegawai tertinggi tentera AS berkata, mereka telah “menghapuskan” tapak nuklear utama Iran menggunakan 14 bom bunker buster, lebih dua dozen peluru berpandu Tomahawk dalam satu operasi yang melibatkan lebih 125 pesawat tentera.

Serangan itu menandakan peningkatan ketegangan dalam konflik di Timur Tengah.

Susulan serangan, Tehran telah berikrar untuk mempertahankan diri.

Rubio bagaimanapun memberi amaran supaya Iran tidak bertindak balas, dengan menyatakan bahawa ia akan menjadi “kesilapan terbesar yang pernah mereka lakukan”.

Namun begitu, beliau menambah Amerika bersedia untuk mengadakan rundingan dengan Iran.

Kongsi Artikel Ini
Ditulis OlehTeam TC
Ikuti:
Admin Trade Club.
Tiada Ulasan