Gemini IPO dibuka pada harga AS$28 Seunit

Team TC
Bacaan 3 minit

Gemini Space Station, syarikat kripto yang diasaskan oleh Cameron dan Tyler Winklevoss, menetapkan harga penawaran awam permulaannya (IPO) pada AS$28 sesaham lewat Khamis, menurut Bloomberg.

Seorang individu yang mengetahui tentang penawaran itu memberitahu agensi berita berkenaan bahawa syarikat tersebut menetapkan harga lebih tinggi daripada julat jangkaan iaitu antara AS$24 hingga AS$26, yang sekaligus memberi nilai pasaran kira-kira AS$3.3 bilion.

Memandangkan Gemini mengehadkan nilai penawaran pada AS$425 juta, sebanyak 15.2 juta saham telah dijual, menurut laporan itu. Angka ini mencerminkan permintaan tinggi terhadap syarikat kripto tersebut, yang pada awalnya memasarkan 16.67 juta saham. Awal minggu ini, syarikat itu turut meningkatkan julat harga cadangan daripada AS$17–AS$19 sesaham.

Seorang jurucakap Gemini bagaimanapun enggan mengesahkan laporan tersebut.

Syarikat dan para pemegang saham yang menjual telah memberikan pilihan kepada penaja jamin utama — termasuk Goldman Sachs, Citigroup dan Morgan Stanley — untuk menjual tambahan 452,807 dan 380,526 saham masing-masing dalam tempoh 30 hari, menurut dokumen pendaftaran. Saham Gemini akan diniagakan di Nasdaq dengan simbol ticker “GEMI.”

Sehingga 30% daripada saham yang ditawarkan akan diperuntukkan kepada pelabur runcit melalui platform seperti Robinhood, SoFi, Futu Securities (Hong Kong), Moomoo Financial (Singapura), Webull dan lain-lain.

Ditubuhkan pada tahun 2014 oleh adik-beradik Winklevoss, Gemini beroperasi terutamanya sebagai bursa mata wang kripto, dan setakat akhir Julai, menguruskan aset bernilai lebih AS$21 bilion di platformnya.

Dagangan awal akan memberikan gambaran kepada pasaran tentang berapa lama lagi “pesta IPO kripto” boleh bertahan. Circle Internet dan Bullish sebelum ini berjaya disenaraikan, namun kebelakangan ini harga mata wang kripto utama seperti bitcoin dan ether mengalami penyatuan. Berbeza dengan keuntungan syarikat-syarikat tersebut, Gemini pula melaporkan kerugian yang semakin melebar, khususnya pada tahun 2025. Menurut pendaftarannya dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC), Gemini mencatat kerugian bersih sebanyak AS$159 juta pada 2024, dan bagi separuh pertama tahun ini sahaja, kerugian mencecah AS$283 juta.

Namun, minggu ini Gemini menerima suntikan keyakinan institusi apabila Nasdaq mengumumkan pelaburan strategik bernilai AS$50 juta dalam syarikat kripto tersebut. Nasdaq dilaporkan berhasrat menawarkan pelanggan akses kepada perkhidmatan jagaan (custodial services) Gemini, serta mendapatkan rakan pengedaran bagi sistem pengurusan dagangannya yang dikenali sebagai Calypso.

Selain itu, Gemini juga menawarkan kad kredit berasaskan kripto, dan bulan lalu melancarkan satu lagi kad kredit dengan kerjasama Ripple. Kad terbaharu itu menerima lebih 30,000 pendaftaran baharu pada Ogos, rekod bulanan tertinggi yang lebih dua kali ganda berbanding jumlah pendaftaran pada bulan sebelumnya, menurut pemfailan S-1.

Kongsi Artikel Ini
Tinggalkan komen